Islam telah meletakkan satu prinsip agama yang penting iaitu kewajipan berbeza dengan amalan golongan bukan Islam, baik dari segi kepercayaan, cara ibadah mahupun budaya hidup. Islam menuntut umatnya supaya tidak meniru cara ibadat dan budaya hidup golongan bukan Islam kerana peniruan itu dibimbangi boleh membawa kepada asimilasi agama dan budaya yang akhirnya akan menghakis identiti umat dan seterusnya melemahkan jati diri mereka.
Asas bagi prinsip ini terkandung dalam banyak nas-nas al-Qur’an dan as- Sunnah, antaranya firman Allah swt dalam surah al- Jaathiah, 45:18. Yang bermaksud:
“Kesudahannya, Kami jadikan engkau ( Muhammad ) menjalankan satu syariat ( yang cukup lengkap ) dari perkara agama, maka turutlah syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang yang tidak mengetahui.”
“Orang yang tidak mengetahui’ di sini dimaksudkan sebagai semua golongan bukan Islam kerena mereka adalah kumpulan orang yang jahil dengan syariat Nabi Muhammad saw. Terdapat banyak hadis Nabi saw yang menjadi asas bagi prinsip ini, sehingga ada ulama yang mengumpulkan lebih daripada 30 buah hadis sahih mengenainya, seperti:
1. Larangan Nabi saw terhadap umatnya daripada menggunakan serunai dan loceng sebagai seruan solat pada zaman awal Islam kerana ia menyerupai cara puak Yahudi dan Nasrani sehinggalah Nabi saw diwahyukan dengan azan ( Shahih Sunan Abi Daud, no : 498 )
2. Larangan Nabi saw daripada solat pada waktu matahari sedang terbit dan waktu sedang terbenam kerana ia adalah waktu sujud golongan penyembah matahari ( Shahih Muslim, no : 832 )
3. Larangan Nabi saw daripada menjadikan perkuburan para anbiya’ dan shalihin sebagai tempat ibadah kerana yang demikian itu adalah amalan golongan Yahudi dan Nasrani ( Shahih Muslim, no : 530-532 )
4. Larangan Nabi saw daripada bersolat dengan berbungkus sehelai kain tanpa mengilasnya di tempat kilasan kerana yang demikian itu adalah perbuatan golongan Yahudi. ( Sahih Sunan Abi Daud, no : 635 ).
5. Suruhan Nabi saw supaya umatnya sekali sekala bersolat sambil memakai selipar dan khuf kerana puak Yahudi tidak mengharuskannya ( Shahih Sunan Abi Daud, no,: 652 )
6. Larangan Nabi saw daripada duduk bertongkat dengan tangan kiri dalam solat kerana yang demikian itu adalah cara duduk puak Yahudi ( Mustadrak al-Hakim, lihat: Jilbab al-Mar’ah, hal:175 )
7. Peringatan Nabi saw terhadap umatnya supaya bersahur bila berpuasa kerana golongan ahli kitab berpuasa tanpa bersahur ( Shahih Muslim, no: 1096 )
8. Saranan Nabi saw supaya umatnya menyegerakan berbuka puasa kerana golongan Yahudi dan Nasrani melewatkannya (Musnad Ahmad, lihat: al-Jilbab al-Mar’ah, hal:175)
9. Saranan Nabi saw supaya umatnya berpuasa ‘Asyura’ pada hari kesembilan dan kesepuluh kerana golongan Yahudi dan Nasrani hanya berpuasa pada hari kesepuluh sahaja ( Shahih Muslim, no: 1134 )
10. Saranan Nabi saw supaya jemaah haji bergerak dari Mudzalifah ke Mina sebelum terbit matahari kerana golongan Musyrikin biasanya bergerak selepas matahari terbit melepasi puncak Bukit Thubair di Makkah ( Shahih Muslim, no: 3626 )
( Dipetik dari Majalah I,Kumpulan Karangkraf, Bil. 83,September 2009, m/s 47 )
Boleh juga dibaca di blog : http://www.hatiyang menyapa.blogspot .com
No comments:
Post a Comment